Tuesday, February 22, 2011

Belia Perlu Berfikiran Terbuka

LUMUT 19 Feb. - Golongan belia di negara ini diminta berfikir secara terbuka dan bertindak bijak dalam menangani pelbagai pemikiran baru yang dihadapi golongan muda sekarang.Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, ini kerana golongan tersebut telah mengalami perubahan yang ketara termasuk gaya kepimpinan mereka pada masa ini.

Katanya, mereka kini lebih bersikap terbuka berbanding dengan golongan belia sebelum ini. "Kita melihat pemikiran golongan belia sekarang lebih terbuka dalam semua aspek dan apa yang berlaku di seluruh dunia terutama pembabitan belia dalam tunjuk perasaan di Mesir baru-baru ini jelas mencerminkan pemikiran baru dan tindak-tanduk golongan itu.

"Kita perlu fahami suasana golongan itu yang sudah berlainan sama sekali dengan wujudnya dunia maya dan dalam konteks hubungan mereka bukan secara bersemuka tetapi secara interaktif," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia kali ke-35 di Teluk Batik Resort di sini malam tadi.Hadir sama Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mua'amar Ghadafi Jamal Datuk Wira Jamaludin. Lebih 400 belia menghadiri perhimpunan tersebut.

Terdahulu Zambry menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Rakan 4BIZ dengan 10 syarikat yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi belia 4B di negara ini. Tambah Zambry, sebagai pemimpin masa kini, kita jangan ambil mudah terhadap generasi belia sekarang berbanding dengan generasi belia dahulu. Menurutnya, generasi belia masa kini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang perlu ditangani dengan cara mereka sendiri.

Zambry berkata, belia juga perlu menceburi bidang keusahawan yang berdaya maju dalam melahirkan golongan itu yang berwibawa.

"Saya percaya pembabitan generasi belia dalam bidang keusahawanan akan membolehkan mereka meningkatkan taraf pembangunan ekonomi belia," katanya.

1 comment:

  1. pandangan dan idea golongan belia tidak boleh diketepikan serta merta kerana ia akan melembapkan dan mengkandaskan segala agenda yang perlu diutarakan untuk memberi sumbangan kepada masyarakat....mereka yang lebih tua haruslah mendengar luahan dan lontaran idea yang mungkin boleh mengubah komuniti hari ini...peluang dan bantuan perlu sejajar dengan aplikasi yang perlu d gunakan untuk menjiwai karakter belia tidak sama seperti dulu...keterbukaan golongan ini perlu d pantau dan d beri tunjuk ajar supaya relevent dengan arus kemodenan dunia.....KAMI ADALAH PEWARIS BANGSA!!!!!!

    ReplyDelete